Pemakanan Ikan Kaloi

Ikan Kaloi merupakan haiwan Omnivor. Ikan ini akan makan apa sahaja dari jenis haiwan mahupun tumbuhan. Tetapi, semakin Kaloi membesar, pemakanan Kaloi lebih menjurus kepada tumbuh-tumbuhan. Antara tumbuhan yang menjadi kegemaran Kaloi ialah daun keladi dan kangkung.

Makanan Kaloi ketika Larva (Anak ikan)

  • Plankton (Air hijau)



  • Cacing mikro (Microworm)


  • Kutu Air (Daphnia)


Makanan Kaloi meningkat dewasa

  • Daun keladi


  • Daun kangkung


  • Daun pokok ubi

Pembiakan Ikan Kaloi

Perbezaan Kaloi jantan dan Kaloi betina






Jantan:



  • Dagu yang besar dan bulat.
  • Mempunyai benjolan di kepala.
Betina:

  • Tidak mempunyai dagu yang besar dan bulat.
  • Kepala yang licin.

Pemilihan Induk

  • Berumur 3 tahun ke atas
  • Keadaan sisik yang masih tersusun tanpa luka di badan.
  • Sihat dan aktif

Aktiviti Pembiakan

Satu kolam pembiakan khas perlu disediakan untuk induk bagi proses mengawan. Nisbah yang sesuai bagi suatu sesi pembiakan ialah 1 jantan bagi 4 betina.

Kolam pembiakan perlulah mempunyai daun-daun ataupun rumput-rumput bagi memudahkan Kaloi jantan membina sarangnya.



Aktiviti pembiakan bermula apabila Kaloi jantan membina sarang daripada daun-daun dan rumput-rumput air yang berada di dalam kolam. Setelah sisa rumput dan daun-daun dikumpul, Kaloi jantan akan membuat sarang buih di kawasan tersebut, sesetengah penternak menggambarkan sarang Kaloi mirip seperti sarang burung yang tenggelam di bawah air.

Setelah sarang siap dibina, Kaloi jantan akan memikat Kaloi betina untuk pergi ke sarang tadi. Kaloi betina betina kemudiannya akan melepaskan telur-telurnya ke dalam sarang tersebut kemudian disenyawakan oleh sperma jantan. Aktiviti mengawan Kaloi ini akan berlangsung selama 2 ke 3 hari.

Setelah aktiviti mengawan berakhir, Kaloi jantan akan beredar dari kawasan tersebut dan meneruskan aktiviti pembiakan dengan Kaloi betina lain. Kaloi betina akan terus menjaga sarang tersebut dengan mengipas telur-telur tadi bagi memastikan bekalan oksigen cukup. Selepas 30 ke 36 jam, telur akan menetas.

Anak-anak ikan yang menetas tidak akan makan apa-apa selama seminggu kerana pada waktu itu, kuning telur yang masih terlekat pada badan anak ikan akan menjadi sumber tenaga kepadanya. Setelah seminggu, anak-anak ikan sudah cukup kuat mempertahankan dirinya dan akan mula memakan plankton (air hijau) yang berada di dalam kolam.

Jenis-jenis ikan Kaloi yang biasa diternak.

Kaloi Sabah (Red Tail Giant Gourami)

Ikan Kaloi Sabah, bertepatan dengan namanya merupakan sejenis Kaloi tempatan dari Negeri di Bawah Bayu. Spesis ini antara yang paling mahal sekali harga pasarannya daripada Kaloi jenis lain kerana warnanya yang cantik dan sukar didapati, ikan ini berasal dari sebuah daerah yang terkenal dengan sungainya di Sabah, sungai Kinabatangan. Jenis Kaloi ini agak cerewet penjagaannya dan memerlukan penjagaan yang rapi.


Fizikal Kaloi Sabah:
  • Berwarna merah pada ekor, sirip renang atas dan sirip renang bawahnya.


Kaloi Hitam (Giant Gourami)

Ikan Kaloi Hitam ini merupakan gergasi dalam keluarga jenis Gourami. Ikan ini merupakan ikan yang paling umum dan mudah di dapati dari tasik, bekas lombong dan sungai-sungai di seluruh Malaysia. Tidak seperti sepupunya, ikan ini mudah dijaga dan tidak cerewet.


Fizikal Kaloi Hitam:


  • Berwarna hitam dan mempunyai corak berbelang pada badan.
Kaloi Merah (Giant Red Eye Gourami)

Ikan Kaloi Merah datang dari jenis yang sama seperti Kaloi Hitam. Warna merah terhasil akibat daripada kecacatan pigmen hitam pada ikan itu sendiri lantas menghasilkan Kaloi albino yang berwarna merah. Penternak lazimnya mengahwinkan beberapa Kaloi albino untuk melahirkan benih yang majoritinya berwarna merah. Kadangkala Kaloi ini juga disebut sebagai Kaloi Thailand ataupun Kaloi India.


Fizikal Kaloi Merah:

  • Berwarna merah pudar.
  • Mempunyai muncung yang sedikit tirus berbanding Kaloi lain.

Ciri-ciri ikan Kaloi:

Rata-rata spesis ikan Kaloi hidup di dalam persekitaran yang hampir sama, malahan pemakanan antara semua Kaloi juga sama. Kaloi memerlukan air yang bersih dan jernih. Tumbesarannya yang lambat dan penjagaannya cerewet menyebabkan kurangnya penternak yang menternak ikan jenis ini. Atas faktor tersebut, ikan Kaloi selalunya dijual sebagai ikan hiasan berbanding ikan makanan menyebabkan harga ikan ini melambung.

  • Saiz maksima bagi ikan Kaloi ialah 50 ke 60cm dengan pengecualian Kaloi Hitam (Giant Gourami) yang boleh membesar sehingga 70cm.
  • Tumbesaran yang lambat, pada tahun pertama ikan Kaloi boleh membesar kepada 15cm, tahun kedua 25cm, dan tahun ketiga 30cm.
  • Sesuai hidup di PH air 6.5 ke 7.
  • Ikan jenis Omnivor namun cenderung kepada pemakanan jenis tumbuh-tumbuhan.
  • Saiz tuaian untuk makanan biasanya pada saiz 25cm dengan purata berat 4 ke 5kg.
  • Boleh mencapai berat maksima sehingga 8kg.

Pembiakan Ikan Tilapia


Ikan Tilapia merupakan ikan yang senang untuk membiak. Tilapia termasuk daripada jenis ikan yang mengeramkan anaknya. Sebaik sahaja persenyawaan berlaku antara induk jantan dan betina, induk jantan akan pergi meninggalkan induk betina untuk mengawan lagi, dan Tilapia betina tadi akan mengaut telur-telur yang sudah disenyawakan ke dalam mulutnya untuk di eram. Selama dalam tempoh pengeraman ini, induk betina tidak akan makan apa-apa sehinggalah anak-anak Tilapia menetas dan boleh menjaga dirinya sendiri.

Pemilihan induk:
  • Berat induk jantan dan betina sekitar 600gram.
  • Berumur 6 bulan ke atas.
  • Sihat dan aktif.
  • F: Betina, M: Jantan


Kawasan Pembiakan:

Nisbah pembiakan yang baik ialah seekor jantan bagi empat ekor betina.

Induk yang dikhaskan untuk menghasilkan benih sebaiknya diasingkan ke dalam sebuah bekas atau kolam pembenihan yang dikhaskan untuk pembiakan.

Kolam tersebut perlu disusun dengan teratur bagi memudahkan proses pembiakan Tilapia.


Pasu berwarna coklat tersebut disediakan sebagai tempat mengawan antara induk jantan dan betina. Manakala paip-paip PVC yang disusun tersebut menyediakan tempat perlindungan bagi ikan betina yang belum bersedia.

Tempoh Pembiakan:

Pembiakan bagi Tilapia berlaku sepanjang tahun. Setelah persenyawaan berlaku, induk betina akan mengeramkan telur tadi, dan dalam jangka waktu tersebut enggan makan apa-apa. Setelah telur menetas, sekali-sekala induk betina akan melepaskan anak-anak ikan keluar untuk makan, lazimnya pada awal pagi.

Setelah 15 hari. Aktiviti memungut benih ikan bolehlah dilakukan pada waktu pagi dengan kaedah sauk. Aktiviti memungut benih dilakukan pada awal pagi untuk mengurangkan stress pada benih ikan.



Kolam Penjagaan Benih:

Benih ikan tadi akan dipindahkan ke suatu tempah khas dan diberi perhatian penuh sehinggalah mencapai saiz seinci, kemudian bolehlah di lepaskan ke kolam pembesaran. 


Pemakanan Ikan Tilapia


Ikan Tilapia merupakan golongan haiwan Omnivor. Iaitu haiwan yang makan tumbuh-tumbuhan dan juga haiwan-haiwan lain.

Ikan Tilapia terkenal dengan sifatnya yang lasak. Lantas boleh diternak dalam apa keadaan apa sekalipun selagi air dan sumber makanan masih ada.

Makanan Tilapia ketika kecil (Larva, anak benih ikan)

  • Cacing mikro (Microworm)
Cacing mikro merupakan sejenis mikro organisma halus yang berasal dari keluarga nematod. Cacing mikro boleh didapati dari sumber alam semulajadi. Lazimnya cacing halus ini boleh ditemui pada semua jenis tumbuhan yang berubi ataupun lembap. Satu daripada spesis nematod ini boleh ditemui pada pangkal pokok pisang yang reput.


  • Alga (Lumut hijau)
Alga ialah lumut yang selalu mendominasi akuarium ataupun kolam jika tidak dikawal. Walaupun Alga sering dianggap sebagai perosak akuarium, sebenarnya memainkan peranan yang penting bagi makanan awal anak-anak ikan. Untuk mendapatkan lumut hijau, taburkan sedikit kotoran seperti tahi ayam ataupun pelet makanan yang ditumbuh halus di dalam akuarium yang berisi air. Kemudian dibiarkan terdedah kepada cahaya matahari selama seminggu, warna air akan mula bertukar kepada warna kehijauan, warna tersebut merupakan hasil tindak balas Alga menghasilkan makanannya melalui proses fotosintesis. Ambil sedikit Alga tersebut untuk diberikan kepada anak-anak ikan. Dinasihakan agar anak-anak ikan tidak dimasukkan ke dalam akuarium yang mengandungi Alga, disebabkan kandungan gas ammonia yang tinggi hasil dari pereputan kotoran yang menjadi baja Alga tadi.


  • Daphnia (Kutu Air)
Daphnia merupakan sejenis kutu air yang halus. Lazimnya boleh didapati daripada lopak-lopak bertakung air ataupun tasik-tasik terbiar.



Makanan Tilapia Dewasa


  • Berudu
Berudu merupakan anak-anak katak yang baru menetas daripada telur. Lazimnya boleh diperolehi dari mana-mana air bertakung yang didiami katak.


  • Kangkung
Kangkung merupakan sejenis sayuran hijau yang tumbuh liar di mana-mana kawasan yang lembap dan air bertakung. Ikan Tilapia dewasa amat menyukai daun kangkung.


  • Kiambang halus (Duckweed)
Tumbuhan ini dikategorikan sebagai salah satu tumbuhan perosak yang mencacatkan pemandangaan kolam. Tetapi, jika tumbuhan ini dijemur dan dikeringkan boleh dijadikan makanan Tilapia. Lazimnya tumbuhan ini boleh didapati dari kawasan takungan air yang terbiar.


  • Ulat kumbang (Mealworms)
Ulat kumbang merupakan sejenis ulat daripada kumbang perosak yang selalu di dapati daripada gandum dan bijiran. Ulat ini mengandungi sumber protein yang tinggi dan mempercepatkan tumbesaran Tilapia. Ulat kumbang ini boleh didapati dengan mudah dari mana-mana kedai ikan hiasan.


  • Berengga lalat (Maggots)
Berengga lalat merupakan sejenis ulat kecil yang mendiami sisa terbuang. Berengga mengandungi protein dan lemak yang tinggi, atas sebab ini Tilapia yang diberi makan berengga berisi tebal dan berlemak.




Jenis-jenis Tilapia yang biasa diternak.

Ikan Tilapia GIFT (Genetic Improvement of Farmed Tilapia)

Hasil percampuran baka Tilapia dari 8 buah negara: Kenya, Israel, Senegal, Ghana, Singapura, Thailand, Mesir dan Taiwan.


Ciri-ciri Tilapia GIFT:
  • Tahan kepada searangan penyakit
  • Pembiakan produktif sehingga 1.5 ke 2 tahun
  • Tempoh bertelur dalam masa 3 ke 6 minggu
  • Jumlah telur untuk sekali pengawanan pada berat 600gram ialah 2000 ke 3000 butir telur.
  • Tumbesaran cepat, mencapai berat 600gram pada umur 5 ke 6 bulan.
Fizikal Tilapia GIFT:
  • Badan yang agak bulat dan berisi jika dilihat dari sisi.
  • Sirip renang disisi badan berwarna kelabu.
  • Hujung ekor berwarna merah pudar.
  • Mempunyai garisan menegak pada badan yang agak ketara jika dibandingkan dengan baka campuran lain.


Ikan Tilapia BEST (Bogor Enhanced Strain of Tilapia)

Hasil percampuran baka Tilapia dari 4 jenis Tilapia: Tilapia tempatan Bogor Indonesia, Tilapia tasik Indonesia, Tilapia GIFT generasi ketiga, dan Tilapia GIFT generasi keenam.



Ciri-ciri Tilapia BEST:
  • Peratusan hidup anak-anak ikan sehingga dewasa sebanyak 90%
  • Peratusan ketahanan terhadap penyakit jika dibandingkan dengan Tilapia tempatan sebanyak 140%
  • Peratusan tinggi tumbesaran sebulan sehingga 4.85%
  • Jumlah telur untuk sekali pengawanan pada berat 600gram ialah 6000 ke 15000 butir telur.
  • Tumbesaran cepat, mencapai berat 600gram pada umur 4 ke 5 bulan.
  • Nisbah pertukaran makanan bagi setiap 100gram berat ikan ialah 1.1 iaitu bagi setiap 110gram makanan yang diberikan, ikan akan mempunyai berat sebanyak 100gram
Fizikal Tilapia GIFT:
  • Badan yang agak panjang dan tegap jika dilihat dari sisi.
  • Sirip renang disisi badan berwarna kelabu.
  • Hujung ekor berwarna coklat atau kelabu pudar.
  • Mempunyai garisan menegak pada badan yang kurang ketara.
  • Jika sirip renang atas ditarik, sirip renang yang dibelakangnya tidak turut sama menegang.
  • Mempunyai warna kelabu kehijauan.


Ikan Tilapia Chitralada (Ikan DiRaja Thailand)

Tilapia Chitralada ialah keturunan dari Tilapia yang dihadiahkan oleh Raja Jepun kepada Raja Bhumibol Thailand pada tahun 1965. Ikan tersebut dipelihara di dalam perkarangan istana Chitralada, lantas terhasillah nama Tilapia Chitralada yang terkenal sehingga kini.



Ciri-ciri Tilapia Chitralada:
  • Tahan lasak kepada kepadatan kolam yang tinggi.
  • Cepat membesar kepada saiz 250gram dalam masa 3 ke 4 bulan tetapi tumbesaran mulai perlahan pada saiz 500gram pada umur 6 bulan.
  • Benih ikan yang mempunyai peratusan hidup yang tinggi berbanding Tilapia lain.

Fizikal Tilapia Chitralada:
  • Badan yang agak panjang jika dilihat dari sisi.
  • Sirip renang disisi badan berwarna merah jingga.
  • Hujung ekor berwarna merah.


Ikan Tilapia NIFI (National Inland Fisheries Insitut)

Tilapia merah yang dihasilkan oleh Jabatan Perikanan Thailand. Tilapia NIFI juga dikenali sebagai Tilapia Merah Thailand.


Ciri-ciri Tilapia NIFI:

  • Cenderung mempunyai keturunan yang dominan jantan.
  • Cepat membesar berbanding Tilapia merah lain hasil daripada keturunan yang dominan jantan.
  • Mudah dijual kepada pelanggan lantaran warna dan isinya yang agak tebal.

Fizikal Tilapia NIFI:

  • Badan yang agak panjang dan tegap jika dilihat dari sisi.
  • Sirip renang disisi badan berwarna merah jingga.
  • Hujung ekor berwarna merah menyala.
  • Kadangkala mempunyai sedikit tompokan hitam pada bahagian kepala dan badan.
  • Rata-rata Tilapia NIFI berwarna merah pudar.
  • Sirip renang atas yang cenderung lebih panjang berbanding Tilapia lain.


Ikan Tilapia Merah Taiwan

Tilapia merah yang diimport dari Taiwan.


Ciri-ciri Tilapia Merah Taiwan:

  • Tumbesaran memberangsangkan sehingga 700gram dalam masa 6 bulan.

Fizikal Tilapia NIFI:

  • Badan yang agak panjang dan sedikit leper.
  • Sirip renang disisi badan berwarna merah jingga.
  • Hujung ekor berwarna merah jingga.
  • Tidak mempunyai tompokan hitam pada bahagian kepala dan badan.
  • Kadangkala mempunyai tompokan berwarna putih.
  • Rata-rata Tilapia Merah Taiwan berwarna merah cerah diselang-selikan dengan warna jingga dan kuning.