Pembiakan Ikan Kaloi

Perbezaan Kaloi jantan dan Kaloi betina






Jantan:



  • Dagu yang besar dan bulat.
  • Mempunyai benjolan di kepala.
Betina:

  • Tidak mempunyai dagu yang besar dan bulat.
  • Kepala yang licin.

Pemilihan Induk

  • Berumur 3 tahun ke atas
  • Keadaan sisik yang masih tersusun tanpa luka di badan.
  • Sihat dan aktif

Aktiviti Pembiakan

Satu kolam pembiakan khas perlu disediakan untuk induk bagi proses mengawan. Nisbah yang sesuai bagi suatu sesi pembiakan ialah 1 jantan bagi 4 betina.

Kolam pembiakan perlulah mempunyai daun-daun ataupun rumput-rumput bagi memudahkan Kaloi jantan membina sarangnya.



Aktiviti pembiakan bermula apabila Kaloi jantan membina sarang daripada daun-daun dan rumput-rumput air yang berada di dalam kolam. Setelah sisa rumput dan daun-daun dikumpul, Kaloi jantan akan membuat sarang buih di kawasan tersebut, sesetengah penternak menggambarkan sarang Kaloi mirip seperti sarang burung yang tenggelam di bawah air.

Setelah sarang siap dibina, Kaloi jantan akan memikat Kaloi betina untuk pergi ke sarang tadi. Kaloi betina betina kemudiannya akan melepaskan telur-telurnya ke dalam sarang tersebut kemudian disenyawakan oleh sperma jantan. Aktiviti mengawan Kaloi ini akan berlangsung selama 2 ke 3 hari.

Setelah aktiviti mengawan berakhir, Kaloi jantan akan beredar dari kawasan tersebut dan meneruskan aktiviti pembiakan dengan Kaloi betina lain. Kaloi betina akan terus menjaga sarang tersebut dengan mengipas telur-telur tadi bagi memastikan bekalan oksigen cukup. Selepas 30 ke 36 jam, telur akan menetas.

Anak-anak ikan yang menetas tidak akan makan apa-apa selama seminggu kerana pada waktu itu, kuning telur yang masih terlekat pada badan anak ikan akan menjadi sumber tenaga kepadanya. Setelah seminggu, anak-anak ikan sudah cukup kuat mempertahankan dirinya dan akan mula memakan plankton (air hijau) yang berada di dalam kolam.